Friday, December 25, 2009

JUTAWAN Russia kemaruk belanja


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Artikel ini saya perolehi daripada Metro.. semoga ia menjadi iktibar kepada kita..

JUTAWAN Russia kemaruk belanja

DUNIA mungkin berdepan dengan krisis kewangan tetapi golongan kaya Russia masih bersedia berbelanja, berbelanja dan terus berbelanja.

Ia jelas kelihatan pada Pesta JUTAWAN terbaru Moscow baru-baru ini.

Russia terjejas teruk oleh kemelesetan ekonomi global dengan 25 orang paling kaya negara itu kerugian RM902 bilion, angka terbaru menurut Forbes.

Namun, golongan hartawannya yang mementingkan status, tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang mereka, termasuk membeli kelengkapan yang tidak masuk akal.

Peti sejuk yang dibalut kulit ular, kereta Hummer dengan pentas tarian berahi untuk hartawan yang terlalu sibuk untuk ke kelab tarian bogel atau mungkin terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang begitu buruk di Moscow, meja kopi dengan kaki yang diperbuat daripada gading gajah berharga RM1.4 juta atau kerusi yang dilitupi kulit beruang - boleh diperoleh dengan harga yang sepatutnya di pesta berkenaan.

Ada juga tanda-tanda kesan kemelesetan ekonomi, contohnya pada Pesta Jutawan 2007, sebuah kereta Mercedes bertatah berlian diletakkan pada pentas utama, digantikan dengan model Kamrus SLR 750 yang dikrom dan ditawarkan kepada pengunjung dengan harga RM1.7 juta.

Pengawal keselamatan bertubuh sasa menghalang mereka yang tidak mempunyai kad jemputan memasuki kawasan pesta, kecuali mereka bersedia membayar RM170 untuk masuk dan melihat cara JUTAWAN negara itu yang jumlahnya kira-kira satu peratus daripada seluruh rakyat Russia, menjalani kehidupan serba mewah.

Yang nyata, ketika sebahagian besar penduduk Russia terpaksa mengikat perut, pemandangan di pesta berkenaan mencetuskan reaksi.

Igor, 29, yang melintasi kawasan pesta itu, tidak tahu sama ada hendak menangis atau ketawa apabila melihat pameran kekayaan itu.

"Dunia berdepan dengan krisis kewangan. Dan acara kemewahan itu diadakan di tengah-tengah bandar raya Moscow. Adakah itu perlu? Tetapi di Russia, masyarakatnya sukakan glamor dan kemewahan dan mereka suka menunjukkannya," katanya.

"Jika anda mampu, apa salahnya. Jika tidak, anda boleh berangan-angan satu hari nanti anda juga mampu berbelanja seperti mereka. Anda lihat sahaja di sekeliling. Kediaman mahal, perahu layar dan kuda yang ada hingga mencecah RM5.5 juta. Di Pesta JUTAWAN itu saya boleh melihat, menyentuh dan merasakan saya sebahagian daripada kemewahan itu," kata Olga, 22.

Dalam pada itu, buat kali pertama, seorang tokoh politik mengkritik pesta berkenaan dan mendesak rakan anggota Parlimennya mengunjungi pesta itu bagi melihat sendiri jurang yang semakin besar antara golongan kaya dengan rakyat biasa.

Speaker Parlimen, Sergei Mironov, menuntut golongan kaya negara itu seperti Roman Abramovich membayar cukai kemewahan apabila mereka membeli kapal layar baru, lukisan terkenal atau kelab bola sepak.

Beliau yakin cukai berkenaan dapat membantu ekonomi negara itu dan pada masa sama tidak menghalang golongan seumpama itu terus membeli peti sejuk berbalut kulit ular atau perahu layar mewah.


PS:// Kekayaan yg dikurniakan pada kita sepatutnya dimanafaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan bersama, ia hadir dengan satu misi dan tanggungjawap untuk kita membahagiakan keluarga dan masyarakat. Fikir-fikirkan

Salam JUTAWAN dari saya

Haizal Ramdzan










No comments: