Sunday, August 24, 2008

BAJET 2009


Bajet 2009: Perokok mungkin bayar lebih mahal

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Para perokok di negara ini berkemungkinan besar terpaksa membayar harga rokok yang lebih tinggi selepas pengumuman Bajet 2009 akan datang berikutan spekulasi penganalisis tentang kenaikan cukai tembakau.

Peningkatan tersebut mungkin dalam bentuk duti eksais sehingga 10 peratus untuk sektor tembakau dan harga satu pek rokok premium 20 batang dinaikkan kepada RM9 daripada harga RM8.20 sekarang, demikian menurut sumber.

''Sekiranya kenaikan berlaku, kami menjangka penyusutan jumlah dagangan dalam industri ini disebabkan perokok mungkin menyesuaikan semula tabiat merokok selepas berdepan dengan kenaikan minyak.

Bagaimanapun, pemain utama masih dapat mengharungi cabaran tanpa kerugian besar, menurut laporan OSK Research yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut laporan Citigroup Inc. pula, kenaikan dalam duti eksais tembakau dijangka digunakan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi. Dalam kajian semula pertengahan penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), perbelanjaan pembangunan kasar telah ditingkatkan sebanyak RM30 bilion kepada RM230 bilion.

''Duti eksais untuk tembakau dinaikkan sebanyak 25 peratus pada Julai 2007 manakala duti eksais bagi alkohol meningkat sebanyak 72 peratus sejak tahun 2002 walaupun tiada peningkatan mulai 2005.

''Berikutan itu, risiko kenaikan duti eksais untuk alkohol mungkin lebih besar berbanding tembakau, namun duti eksais tembakau yang lebih tinggi juga tidak boleh diketepikan," kata laporan itu.

Sebelum ini, British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) melaporkan supaya kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mengenakan cukai tembakau yang 'seimbang' pada Bajet 2009 nanti.

PS:// saya sengaja meng "hightlight" kan isu bajet kepada perokok, apa pendapat anda tentang kenaikan harga rokok tersebut? Bagi saya, perokok tegar sebenarnya merupakan seorang "fighter" unggul kerana berjaya juga mengekalkan cara hidup dan tabiat walaupun terpaksa berbelanja besar. Jika semangat "fighter" tersebut dibawa kedalam perniagaan, pastinya akan membuahkan hasil? yeke? saya pun tak pastilah...

No comments: