Friday, June 3, 2011

Berita JUTAWAN : Perihal jutawan segera, jutawan alam siber



dari arkib Berita Harian

2011/05/22

JANGAN terkejut jika teman sudah pun bergelar jutawan. Tak mustahil masuk dalam ranking 40 individu terkaya di Malaysia. Tetapi jangan salah sangka, setakat jutawan di alam siberlah. Maknanya, jutawan angan-angan Mat Jeninlah tu... Mana taknya, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, banyak benar e-mel yang menawarkan pelbagai dana dan harta secara percuma saja. Bukan calang-calang imbuhan, semuanya sama ada dalam mata wang euro, dolar Amerika atau pound sterling dan bukannya rupiah Indonesia atau Ringgit Malaysia. Pendek kata, kalau benarlah makan tak habislah satu keturunan.

Selalunya, e-mel yang diterima berbunyi begini: “Good day, I am Barrister Richard Anderson. I have sent you a letter earlier on without any response from you. On my first email I mentioned about my late client whose relatives I cannot get in touch with. But both of you have the same last name, so it will be very easy to front you as his official next of kin. I am compelled to do this because I would not want the finance house to push my client’s funds into their treasury as unclaimed inheritance. If you are interested, do let me know so that I can give you comprehensive details on what we are to do. Sincerely, Richard Anderson.”
Maksudnya lebih kurang begini, teman ditawarkan menjadi pewaris sebuah keluarga hartawan semata-mata kerana nama bapa lebih kurang serupa. Kononnya, Mr Richard Anderson (tentunya tak wujud orang ini) bimbang segala harta yang melimpah ruah itu akan masuk dalam harta yang tidak dituntut. Memang mulia hasrat Mr Anderson ini mengawal selia wang ringgit dan harta kliennya yang sudah tentu tidak wujud sama sekali.

Satu lagi e-mel pula datangnya daripada pelarian Iraq bernama Fadila Mohammad. Suaminya dikatakan seorang pembantu peribadi Presiden Iraq yang kononnya terbunuh ketika negara itu sedang huru-hara. Namun, janda itu bukan sebarang janda kerana dia mewarisi harta berjumlah AS$11 juta dan kini mendapat suaka politik di Thailand. Ceritanya lagi, dengan duit yang berkepuk itu dia ingin membuat pelaburan membeli hartanah di Malaysia.

Bagaimana teman berada dalam skrip cerita ini? Kononnya, Fadila ingin menjadikan teman rakan kongsi untuk sama-sama menjalankan bisnes. Untuk menyedapkan lagi cerita, individu itu memberitahu dia juga mempunyai seorang anak bernama Mufeed yang masih kecil, yang begitu merindui kasih sayang seorang bapa. E-mel itu berakhir dengan harapannya yang tinggi menggunung untuk membina bisnes ini bersama teman. Barangkali memikirkan teman ini seorang lelaki, tak mustahil Fadila cuba menagih simpati dan mahu menawarkan cintanya dengan cerita sebegini.

Naik hairan bin ajaib juga kerana macam manalah begitu mudah menawarkan status rakan kongsi perniagaan tanpa diselidiki latar belakang. Percayalah sindiket sebegini memang bijak mencerna pelbagai cerita demi mencari mangsa.
Penat menjaja cerita keluarga yang mewarisi harta melimpah ruah, sindiket ini makin seronok berkreatif lagi, tetapi kali ini memberitahu alamat e-mel menang loteri dengan hadiah lumayan AS$5 juta.
Selang beberapa hari, satu lagi e-mel masuk: “I am pleased to officially inform you that you have been picked by the UNHCR organization to receive the sum of US$1,000,000.00 (One Million United States Dollars). The program was carried out by our computerized ballot system in which your email address was picked as the winner of the program.” Kali ini mereka menggunakan sebuah pertubuhan antarabangsa untuk menguatkan cerita. Memang sahlah jutawan... Selalunya, e-mel macam ini datang dalam tiga, empat mel selang beberapa jam sehari. Modus operandinya sama saja, iaitu supaya penerima menghubungi nombor telefon yang tertera dan tidak lupa meminta meletakkan butir peribadi.

Teman bukan berseorangan diasak dengan e-mel sebegini. Sesiapa saja yang memiliki akaun mel elektronik atau laman sosial seperti Facebook pasti dikunjungi sindiket ini. Cara mungkin berbeza tetapi niatnya sama saja. Seperti kebanyakan orang lain, teman sekadar tersenyum dan langkah seterusnya untuk klik terus ke ‘tong sampah’. Tetapi percayalah, ada juga yang mudah terpedaya apatah lagi jika tawaran bentuk perniagaan itu disulami dengan bunga-bunga cinta.

Macam Helen Chin Sep Yun, 48, seorang akauntan yang kerugian wang RM1 juta gara-gara terlalu percayakan rakan yang dikenali melalui alam maya. Barangkali bagi kekasihnya seorang warga Britain itu, menjalankan penipuan melalui internet sudah menjadi darah dagingnya. Alex Bob meminta Chin membantunya menyelesaikan beberapa perkara berkaitan akaun, duti setem, insurans serta pelbagai bayaran lain dengan alasan dia tidak memiliki akaun di negara ini. Sekali lagi, cinta membuatkan seseorang itu buta. Tanpa berfikir panjang dia memasukkan wang tunai RM1,110,350 ke dalam akaun lelaki itu.

Bukan sikit duit dan boleh gila dibuatnya. Tak cukup duit sendiri, Chin terpaksa ‘bergolok gadai’, pinjam sana-sini demi kasihnya kepada lelaki itu. Apabila hajat hati tertunai, kekasih maya itu lesap. Dail telefon tak jawab, buka Facebook akaun sudah lesap. Biasalah, macam kes dapat madu sepah dibuang jugalah.

Namun nasib yang menimpa Chin juga bukan terpinggir. Tak mustahil ramai lagi mangsa yang hanya berdiam diri, barangkali jumlah wang tak sebanyak dia. Kes penipuan menerusi laman sosial terus berleluasa dan kata polis tahun lalu saja, 1,201 kes jenayah dilaporkan terjadi dan kos kerugian mencecah RM20.8 juta. Jadi berhati-hatilah wahai pembaca. Apabila jadi begini, siapa yang rugi jika tidak kita dan keluarga sendiri. Jumpa lagi!

PS: Berhati hatilah,jgn terlalu ghairah bila diberikan sesuatu peluang...ingat..tiada jalan mudah untuk berjaya!!












2 comments:

Wan said...

Salam,

FYI Blog Imotivasi dah tukar url ke http://imotivasi.net

zaidizel said...

Memang best baca tentang Jutawan nie...klu boleh nak jadi macam mereka.