Friday, September 24, 2010

Tips Jutawan : Elakkan kebocoran!


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Ape maksod kebocoran? pernahkan anda mengalami kebocoran? tayar bocor,belon bocor dan sebagainya. Anda cuba bayangkan saya mengisi sebiji belon dengan air....dan terdapat beberapa tempat yg bocor, maka, air didalam bocor itu akan keluar. Secara perlahan-lahan, air didalam belon itu akan berkurangan sedikit demi sedikit. BAGAIMANA anda ingin menambah jumlah air didalam belon tersebut?..isi air semula dan dalam beberapa ketika, ia berulang kembali.

Ramai diantara kita berhasrad menambah pendapatan atau mencari pendapatan sampingan. Atas satu alasan perbelanjaan harian yg tidak mencukupi ataupun menambah aset dan simpanan. Tetapi langkah pertama yg perlu sebenarnya ialah mengesan kebocoran sumber kewangan anda. Cari dengan teliti kemana wang anda pergi. Ya sememangnya anda tidak mampu mengelak kebocoran wang tetapi perlu diteliti adakah perbelanjaan harian anda itu satu KEHENDAK atau KEPERLUAN.

Sebagai contoh. Dalam sehari anda meletakkan kereta di sebuah mall berhampiran tempat kerja anda setiap hari utk memudahkan anda ke tempat kerja. Sehari jumlah yg perlu anda bayar adalah RM5.00 sehari. Anda perlu mencari alternatif mengurangkan perbelanjaan tersebut. Mungkin anda boleh membeli pas bulanan yg jauh lebih murah jika dikira semula.

Kebanyakkan dari kita sibuk mencari jalan menambah hasil pendapatan tanpa memerhatikan kebocoran yg semakin besar berlaku terhadap aliran wang kita. Ibarat belon yg bocor, jika tidak ditampal ia akan bertambah besar dan kita akan menjadi letih berusaha menambah sumber pendapatan sedangkan dalam masa yg saya ia terus mengalir keluar.

Sekadar renungan untuk mendidik diri sendiri dan perkongsian ini diharap dapat memberikan manafaat untuk anda.

Salam Jutawan

Haizal Ramdzan











Sunday, September 12, 2010

JUTAWAN ANTARABANGSA: Soichiro Honda....bermula dari impian..kepada realiti Empayar permotoran..


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya menyambut hari raya saya di Kluang Johor kampung sebelah ibunda saya. Seperti biasa, suasana hari raya memang meriah dengan saudara dan sahabat handai datang mengunjung. Semua melaram dengan baju baru,songkok baru, kasut baru...itu bagi kanak-kanak. Bagi golongan dewasa pula, mereka lebih suka melaram dengan handphone atau kenderaan baru.

Semasa saya memandu pulang ke Kuala Lumpur, Banyak sungguh saya perasan yg kenderaan baru di Jalan raya berjenama Honda. Kebanyakkannya Honda city lah. Memang cantik...gerekkkk seh kata orang johor. Lantas saya terfikir mengenai pencipta kenderaan buatan Jepun yg sememangnya telah mencipta nama bukan sekadar diAsia, Malah barat juga mengakui kehebatan kenderaan ciptaan negara Matahari terbit ini.

Soichiro Honda adalah nama pencipta jenama unggul dalam industri permotoran ini. Membaca biografi beliau amat menyentuh hati saya. Salah satu temubual yang pernah saya baca, beliau mengatakan segalanya bermula daripada sebuah impian dan sejuta persoalan. Beliau masih ingat betapa naif dan mentahnya beliau semasa melihat kenderaan pertama dalam hidupnya. Beliau mengejar kenderaan tersebut semahu mungkin. Sehingga terlalu letih dan melutut beliau masih memikirkan, bagaimana kenderaan itu boleh bergerak dengan kuasa sendiri.

Impian dan semangat ingin tahu telah mengubah hidup beliau. Soichiro Honda dilahirkan bukan dalam sebuah keluarga yg kaya raya. Bapanya hanyalah seorang tukang besi yg membuat kerja-kerja kimpalan dan ibunya pula seorang penenun kain. Dilahirkan pada 17 November 1906, beliau mempunyai minat yg tinggi terhadap teknologi moden. Beliau sering diejek sebagai "si hidung hitam" kerana sering kesekolah dalam keadaan comot kerana membantu ayahnya membuat kerja. Bakatnya dalam bidang penciptaan dapat dilihat sejak kecil kerana beliau telah membuat permainannya sendiri dan kerap mengikut datonya ke sebuah kuari utk menyaksikan bagaimana mesin disana berfungsi.

Pengalaman bekerja di auto shop di Tokyo benar-benar mengubah hidup beliau. Bermula dari bawah, beliau berjaya menjadi mekanik termuda dan mula bekerja dengan pasukan lumba Art daimler. Pada usia 17tahun, beliau berjaya membawa pasukan itu memenangi "Chairman's Trophy". Berkat pengalaman, tertubuhnya Honda Motor Co. Ltd pada September 1948. Bersama rakannya Takeo Fujisawa, beliau mengeluarkan produk pertamanya iaitu sebuah motosikal bernama "Dream" iaitu motosikal 2 strok dengan 98cc. Bagaimanapun, produk ini gagal dipasaran.

Honda bukanlah seorang yg mudah mengalah, beliau membuat kajian terperinci tentang kehendak pasaran dan produk yg dapat memenuhi kehendak semasa, lantas terciptalah honda cup 50cc. Honda cup 50cc ini adalah permulaan kejayaan mereka kerana permintaan yg tinggi dipasaran. Ia terkenal diJepun dan juga peringkat antarabangsa.

Honda meluaskan empayarnya ke USA dengan membuka cawangan pertama di Los Angeles pada 1959 walaupun hanya dengan 6 pekerja sahaja. Bermula tahun 1963, Honda merupakan pengeluar motor terbesar di amerika syarikat dengan kadar pengeluaran 100,000 motor sebulan. Sehingga penghujung 80an. Honda masih mengekalkan 60% penguasaan dalam industri penjualan motorsikal.

Kini, teknologi Honda telah merantau jauh keseluruh dunia. Pelbagai teknologi automotif dikembang sehingga merangkumi teknologi robotik. Bermula dari satu visi lelaki hebat bernama Soichiro Honda. Empayarnya bakal menjadi lagenda seribu tahun lagi.

Salam Jutawan dari saya.

Haizal Ramdzan











ARKIB BERITA JUTAWAN : Hidup Sosilawati penuh warna


Dari sumber UTUSAN MALAYSIA

Hidup Sosilawati penuh warna

Oleh Hafizahril Hamid

KISAH hidup wanita yang boleh dianggap antara paling berjaya dalam bidang industri kecantikan di negara ini Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya penuh ranjau dan duri.

Sosilawati yang pernah mengalami pelbagai peristiwa jatuh bangun dalam hidup kini dikejutkan pula dengan kisah kehilangan beliau sejak ahli keluarganya melaporkan kehilangannya sejak 30 Ogos lalu.

Kini setelah Hari Raya Aidilfitri masuk hari ketiga keluarganya masih belum menerima berita mengenai pemilik syarikat kosmetik terkenal, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu.

Sosilawati, 47, tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor bersama tiga lagi yang lain untuk menemui seorang peguam bagi menyelesaikan urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.

Penulis yang pernah mewawancara beliau pada tahun lepas turut berasa kagum dengan kegigihan beliau mencorakkan kehidupan sebelum berjaya memartabatkan diri dalam kehidupannya sekarang.

Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan pastinya akan terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.

Begitulah pengalaman hidup yang diharungi oleh Sosilawati dalam mengharungi liku-liku kehidupann yang sememangnya sangat mengharukan.

Akibat kegagalan perkahwinan pertamanya telah benar-benar mengajar beliau erti sebuah kehidupan.

Satu ketika dahulu wanita ini pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil mengendong bayinya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyara enam anaknya yang masih kecil selepas suami yang dahulu menjadi tempat bergantung menceraikannya.

Biarpun tidak pernah keluar bekerja sepanjang bergelar isteri pada perkahwinan pertama, Sosilawati tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap belas ehsan daripada orang lain bagi meneruskan kehidupan.

Menurut wanita kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini, penceraian pada usia awal 30-an telah menjadikannya lebih berani untuk menongkah liku-liku kehidupan.

Yakin bahawa tiada yang mustahil dan kesanggupan untuk belajar serta bekerja keras, beliau sanggup berkorban demi membesarkan anak-anak.

"Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.

Sosilawati percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan malah tidak keterlaluan jika dikatakan perceraian tersebut menjadi pencetus kepada kejayaannya sekarang.

Bagi beliau peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan kosmetik dan kecantikan dan mendapati ia merupakan sebuah perniagaan yang bagus.

Berkat kesabaran dan menganggap kegagalan sebagai pengajaran Sosilawati gigih mengusahakan rangkaian produk kecantikan Nouvella Visage (NV) malah sudah bergelar jutawan kosmetik pada usia 40-an.

Mengakui tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar SPM sahaja namun beliau sanggup bermula dari bawah.

"Pada asalnya saya hanya menjual produk kosmetik orang lain kemudian saya menubuhkan butik kecantikan.

"Saya buat sendiri semua urusan dari memberi facial hinggalah menarik pelanggan. Namun berkat dari usaha bersungguh-sungguh dan tidak mengenal erti putus asa, hasilnya saya nikmati sekarang," katanya.

Kejayaan

Beliau kemudiannya berjaya mengusahakan produk sendiri, NV sebelum mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia. Kejayaan beliau menghasilkan sebuah produk yang murah tetapi berkualiti merupakan penanda aras kepada kejayaannya sekarang.

Pada peringkat awal sememangnya ia memerlukan usaha yang gigih apatah lagi stigma masyarakat lebih mempercayai produk kecantikan dari Barat.

Namun Sosilawati berjaya membuktikan bahawa produk ini berkesan, dan sesuai digunakan masyarakat negara ini. Prinsip dan falsafah yang dipegangnya sehingga sekarang iaitu kerja keras dan percaya pada kemampuan diri sendiri merupakan tonggak kepada kejayaannya sekarang.

Namun katanya paling penting ialah jangan sekali-kali menipu orang lain kerana perkara paling penting ialah keberkatan.

Atas kesungguhannya juga, dia terpilih untuk menerima Anugerah Khas Tokoh Wanita dan Anugerah Wanita Nadi Negara daripada Kerajaan Negeri Johor pada tahun 2007.

Berkenaan soal impian, wanita ini sememangnya mempunyai perancangan dan visi yang jauh kehadapan.

"Saya telah menyimpan cita-cita untuk menubuhkan sebuah kolej kecantikan yang lengkap dengan semua kemudahan untuk kecantikan. Insya allah dalam tempoh terdekat ini ia akan menjadi kenyataan," kata Sosilawati kepada penulis.

Namun lumrah hidup juga membuktikan adakalanya tidak semua yang diidamkan senantiasa menyebelahi kita.

Kisah perkahwinan keduanya dengan rocker terkenal tanah air, Nashrudin Elyas atau lebih dikenali sebagai Nash yang meniti setiap akhbar dan majalah tidak mampu bertahan lama.

Hanya selepas 10 bulan mereka memadu kasih, perceraian terpaksa dipilih sebagai penyelesaian malah ia berlarutan di mahkamah selepas Sosilawati membuat laporan polis mendakwa Nash, mengeluarkan wang tunai miliknya tanpa persetujuan.

Sekali lagi Sosilawati mengejutkan rakyat Malaysia apabila didakwa ditangkap khalwat pada malam tahun baru lalu.

Beliau kemudiannya membuat dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan di luar negara dengan pasangannya seorang duda anak tiga yang dipercayai berasal dari Indonesia.

Sejak peristiwa itu berita mengenai Sosilawati sudah mula kurang kedengaran baik di dada akhbar mahupun di dunia maya.

Namun ini tidak bermakna beliau mendiamkan diri tetapi sebaliknya lebih aktif mengibarkan empayar perniagaannya terutama dalam bidang hartanah.

Malah dikatakan beliau memiliki harta dan wang tunai mencecah RM100 juta.

Atas alasan itu beliau bersama pemandu, peguam peribadi serta seorang pegawai sebuah bank telah pergi ke Banting pada 30 Ogos lalu.









Saturday, September 11, 2010

BERITA JUTAWAN: Semangat waja Azean



Semangat waja Azean
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
2010/03/14

BARU berusia 32 tahun, tetapi pencapaian dan kemampuannya boleh diumpamakan satu dalam 1,000. Betapa tidak, pada usia semuda itu beliau memiliki lebih daripada satu syarikat, bangunan sendiri yang nilainya melebihi RM1 juta dan bergelar bos kepada lebih 100 kakitangan.

Lebih menarik, satu daripada cabang perniagaan diceburinya adalah memelihara lembu - sesuatu yang jarang diterokai wanita semuda usianya.

Tanyalah hal berkaitan lembu, terutama lembu susu, insya-Allah beliau boleh menjawabnya.

Malah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau memberi gambaran betapa 'ilmunya' berkaitan haiwan berkenaan kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.

"Kalau awak nak tahu, lembu susu adalah haiwan yang sensitif dan tidak boleh tertekan. Kita perlu tunjukkan kasih sayang kepada haiwan itu kerana ia kaedah berkesan untuk lembu terbabit menghasilkan susu yang lebih banyak.

"Lebih elok jika wanita menjaga haiwan itu. Di ladang saya, setakat ini dua wanita ditugaskan menjaga lembu dan ia ternyata berkesan dalam menghasilkan susu lebih banyak," katanya selamba.

Siapa sangka, di sebalik usia dan penampilan yang tampak lemah lembut, wanita bernama Norazean Abdul Aziz itu agresif dalam dunia perniagaan.

Sebelum 'menguruskan' lembu, beliau terlebih dulu meraih kecemerlangan dalam bidang pelancongan.

Hanya dalam tempoh tiga tahun (2002 hingga 2005) menjalankan perniagaan pelancongan menerusi syarikat Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd, beliau berupaya membeli bangunan sendiri yang dinamakan Wisma PPV di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 27 tahun.

Daripada hanya menguruskan pakej pelancongan dalam negara, kini nama PPV bukan lagi asing sebagai sebuah syarikat pelancongan yang lengkap serba serbinya.

Ada bas persiaran sendiri dan sebut apa saja khidmat berkaitan pelancongan tidak kira dalam atau luar negara, semuanya ada di PPV.

Selepas enam tahun meletakkan PPV pada kedudukan terbaik dan mempunyai prestij tersendiri, Norazean menubuhkan pula syarikat Prestige Dairy Farm (PDF) (M) Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perniagaan memelihara lembu untuk menghasilkan produk tenusu dan daging.

Bagi Norazean atau lebih mesra dengan panggilan Azean, usahanya meneroka bidang berkenaan yang semestinya dianggap janggal bagi wanita, dijadikannya cabaran.

Beliau sanggup mengetepikan rasa kurang selesa terhadap haiwan berkenaan kerana yakin dengan masa depan perniagaan dalam bidang itu.

"Dulu nak dekat dengan lembu susah juga sebab saya tak tahan baunya. Sekarang tiada masalah untuk saya berbuat demikian, malah saya sifatkan lembu juga seperti haiwan peliharaan lain yang perlu diberi kasih sayang dan dijaga dengan sempurna.

"Dalam perniagaan ini suami banyak membantu, malah dialah pencetus kepada penubuhan syarikat ini. Kami bersama-sama merealisasikannya," katanya.

Kesungguhan Azean terhadap perniagaan itu terbukti dengan visi dan misinya. Beliau menyifatkan susu lembu umpama gula yang diperlukan dalam kehidupan setiap hari.

"Susu sama saja macam gula. Daripada bayi hinggalah orang tua, semua minum susu dan terbukti susu mendapat permintaan yang sangat tinggi.

"Bukan setakat susu, macam-macam boleh dibuat dengan susu lembu, antaranya minyak sapi. Justeru, saya ambil peluang ini untuk memberi tumpuan dalam perniagaan berkenaan," katanya.

Bermula dari 2008, PDF kini mempunyai lebih 500 ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey diimport dari Australia, selain lembu daging yang ditempatkan di ladang Alifah, Kluang, Johor.

Dengan lebih 30 kakitangan dan peralatan pemprosesan susu canggih, PDF kini tersenarai sebagai pengeluar susu lembu kedua terbesar di negara ini.

PDF turut membuka peluang kepada orang ramai bersama-sama menikmati faedah daripada permintaan tinggi susu lembu menerusi pakej diperkenalkan PDF.

Beli lembu daripada PDF dan terima hasil sehingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pengeluaran susu lembu yang dibeli.

Tidak perlu bersusah payah menguruskan lembu dimiliki kerana PDF akan menguruskan semua hal berkaitan, daripada menjaga, memberi makan, memerah susu hinggalah hal pemasarannya.

Setiap lembu dibeli akan diberi sijil dan Azean mengalu-alukan pemilik lembu hadir ke ladang PDF di Kulai Johor untuk melihat lembu mereka.

Bagaikan terlalu mudah, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, Azean mampu mengecap kejayaan dan memang lumrah, kejayaan diperoleh mengundang pelbagai persepsi.

Bagi Azean, beliau sedia maklum, barangkali ada yang beranggapan beliau 'orang senang' menyebabkan mudah untuknya meraih kejayaan sesingkat itu.

Namun hakikatnya Azean bukan dilahirkan di dalam 'mangkuk emas' yang memungkinkan beliau lebat dengan wang ringgit sehingga mampu melakukan apa saja. Ibu bapanya juga bukan orang berpengaruh sehingga mampu membantu memudahkan perjalanan perniagaannya.

"Bapa saya bekerja sebagai pemandu limosin dan ibu suri rumah. Mereka tidak mampu memberi kekayaan, tetapi yang masih terngiang-ngiang, ayah selalu kata dia hanya mampu memberi kasih sayang dan pendidikan terbaik untuk anaknya.

"Didikan, kasih sayang dan kesungguhan ibu dan ayah memberi saya pendidikan terbaik dijadikan dorongan serta semangat untuk saya merubah nasib keluarga pada masa depan," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan untuk beliau mengecapi kejayaan seperti hari ini bukan mudah.

"Ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya melakukan kerja sampingan untuk mencari wang perbelanjaan dan pada masa sama menimba pengalaman.

"Nak minta wang daripada orang tua, saya tak sanggup kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

"Saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 9 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

"Bohonglah saya katakan tidak penat dan tertekan... bila nak mengulangkaji, menyiapkan tugasan diberi pensyarah dan memberi tumpuan kepada pekerjaan. Apapun, saya kuatkan semangat dan teruskan sehingga tamat pengajian," katanya.

Kesungguhan Azean berbaloi apabila terus diberi kepercayaan bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian hinggalah dilantik ke jawatan ketua bahagian pemasaran.

Bagaimanapun, kejayaan diperoleh menimbulkan iri hati pihak tertentu, menyebabkan beliau ditukarkan ke bahagian sumber manusia.

"Kepakaran saya adalah bidang pemasaran. Apabila ditukarkan ke bahagian sumber manusia, untuk apa lagi saya bekerja di situ. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan ketidakadilan itu membuatkan saya nekad untuk bekerja sendiri," katanya.

Azean memanfaatkan kepakarannya dalam bidang jualan dan pemasaran untuk menceburi bidang saham amanah. Tidak dilayan, terpaksa tebalkan muka dan dimarahi antara pengalaman yang lama kelamaan menjadi kebiasaan buatnya.

Berbekalkan pengalaman berkenaan, Azean mencuba pula bidang pelancongan dengan membuka syarikat pelancongan kecil-kecilan dinamakan PPV. Buat permulaan, tumpuan diberi kepada pakej pelancongan dalam negara terlebih dulu.

"Ketika berhenti kerja dan buat saham amanah, adalah sedikit modal. Saya sewa kedai kecil dan mencari pelanggan sendiri. Memandangkan sudah biasa 'tebal muka', saya telefon hotel sendiri, jumpa pengurus hotel sendiri dan cari pelanggan sendiri.

"Alhamdulillah, berkat pengalaman, dapatlah pelanggan dan tambah dua hingga tiga kakitangan untuk melicinkan urusan perniagaan," katanya.

Setahun kemudian, PPV mendapat lesen untuk menyediakan pakej pelancongan luar negara dan pencapaian PPV terus cemerlang dengan beroperasi di bangunan sendiri dan pertambahan pelanggan dari semasa ke semasa, dari individu hinggalah sektor korporat dan kerajaan.

Bertemu jodoh dengan Mohd Helmi Ali pada usia 27 tahun, PPV terus megah dan perjalanan Azean terus ke puncak dengan penubuhan PDF.

Liku perjalanan Azean dalam menguruskan dua syarikat berkenaan turut dicemari episod duka ditipu kenalan sendiri.

"Saya pernah beberapa kali ditipu sehingga rugi lebih RM200,000. Kenalan sendiri sanggup berbuat demikian selepas melihat kesungguhan saya untuk mencuba cabang perniagaan saya, "Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana insiden itu mengecewakan saya. Ia pengalaman berharga untuk saya lebih berhati-hati," katanya.

Reda dengan apa yang berlaku, Azean tidak mahu pengalaman pahit itu melemahkan semangatnya.

"Saya dan kakitangan umpama keluarga. Jika saya putus asa dan perniagaan tergugat gara-gara masalah tertentu, bagaimana nasib lebih 100 kakitangan saya.

"Sampai ke tahap ini saya tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Nasib kakitangan juga perlu diambil berat," katanya yang kini bahagia dengan tiga cahaya mata.

Di akhir pertemuan, Azean memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan yang diperolehnya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.

"Selain keluarga, suami banyak menyumbang kepada kejayaan saya. Dia selalu memberi semangat dan berpesan supaya jangan terlalu berasa selesa dan leka," katanya.