Monday, August 9, 2010

Godaan cepat KAYA..


Minda: Godaan nak cepat kaya


2010/08/07
Artikel ini diperoleh dari Harian metro online.

KEJAYAAN polis menumpaskan satu sindiket perniagaan MLM (pemasaran pelbagai peringkat) berasaskan skim cepat kaya yang mensasarkan golongan muda berikutan penahanan 100 orang, termasuk seorang wanita berusia 23 tahun di empat restoran di Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya, minggu lalu cukup menggemparkan.
Dalam kejadian itu, polis merampas 17 kereta mewah, termasuk Mercedes Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang dijadikan umpan untuk menarik orang ramai menyertai skim ditawarkan sindiket itu yang beroperasi tiga tahun lalu serta dipercayai mempunyai lebih 10,000 ahli membabitkan pelaburan jutaan ringgit sebulan.

Jika diimbas kembali, konsep MLM bukan asing, apatah lagi mereka yang pernah dibesarkan dengan kaedah jualan barangan dari rumah ke rumah seperti yang pernah dipraktikkan beberapa syarikat MLM terkemuka.

Bagaimanapun, kaedah MLM kini berbeza apabila ia diserapkan dengan konsep skim cepat kaya menyebabkan seseorang itu tidak perlu bersusah payah mengadakan persembahan barangan yang ditunjukkan menerusi risalah, tetapi hanya menjaja kejayaan seseorang menerusi gambar atau memandu kereta mewah seperti berlaku di Petaling Jaya.

Namun, apa yang menghairankan ialah kisah skim cepat kaya boleh dianggap bermusim dan laporan terbaru itu membuktikan sindiket terbabit kini menjadikan orang muda yang baru bekerja sebagai sasaran kerana mempunyai keinginan tinggi terhadap kereta mewah.

Malah, apa yang dikesalkan ada yang sanggup membuat pinjaman peribadi untuk melabur dalam skim itu selepas diumpan dengan janji manis pulangan pendapatan atau komisen yang tinggi.

Jika dinilai semula laporan ini, perumpamaan ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’ mungkin tidak praktikal diamalkan sekarang kerana naluri manusia memilih jalan singkat untuk hidup senang tanpa perlu bekerja keras.

Memang tiada sesiapa mahu hidup susah, tetapi jalan yang kita pilih itu harus melalui kaedah betul kerana jika tersilap langkah maka padah menimpa.
Namun, kecekapan polis membongkar kegiatan itu harus dipuji kerana ia mungkin mampu menyelamatkan mangsa lain yang belum terjebak membuat sebarang pelaburan dalam sindiket itu.


Jika dilihat dari sudut agama, Mufti Selangor, Datuk Mohamad Tamyes Abd Wahid, dilaporkan berkata, perniagaan MLM berasaskan skim cepat kaya jelas berunsur penipuan dan hukumnya haram.

Malah, pandangannya turut dikongsi Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut yang menjelaskan perniagaan itu mempunyai unsur riba dan penipuan serta wajib dijauhi kerana hasil pelaburannya tidak berkat.

Bagi mereka yang berpegang kepada agama, skim seumpama itu harus ditinggalkan dan sebelum menyertai mana-mana skim, mereka harus menyelidiki latar belakang syarikat atau jenis pelaburan ditawarkan.

Memetik satu laporan, secara amnya, ada dua jenis perniagaan MLM iaitu syarikat yang memiliki produk dan menggunakan pendekatan MLM untuk memasarkan keluaran mereka manakala jenis kedua ialah perniagaan yang memiliki produk, tetapi tumpuan utama perniagaan bukan penjualan produk sebaliknya menjana kewangan melalui perkembangan jaringan keahlian.

MLM dianggap pengganti kedai dan proses jual beli produk yang berlangsung terus antara ejen serta pelanggan dengan tumpuan lebih diberi kepada pemasaran produk manakala pengaruh produk bergantung kepada kuasa perkongsian.

Konsep MLM sebenarnya berkembang daripada sistem jualan langsung dan dalam kaedah itu, ejen biasanya menjual produk di kalangan kenalan saja dan komisen diterima daripada setiap jualan.

Dalam skim MLM, ejen bukan saja menjual produk kepada pelanggan, tetapi mengajak mereka menjadi ahli bagi menikmati diskaun. Setiap ejen memperoleh pendapatan melalui penjualan produk dan setiap kali mereka membawa ejen baru menyertai perniagaan itu.

Mengikut pandangan ahli ekonomi, kaedah MLM bakal menjadi satu pendekatan pemasaran popular dan berkembang pesat serta mampu menjana ekonomi baru kepada rakyat negara ini kerana kaedah itu bukan saja menjual barangan kepada pelanggan, tetapi turut menyediakan perkhidmatan secara peribadi untuk memastikan pelanggan terus membeli produk yang dikeluarkan.

Industri MLM berasal dari luar negara dilihat mampu menjana pendapatan jutaan ringgit dan satu pendekatan berbeza dalam bidang ekonomi baru selain ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang pesat, sekali gus membantu merancakkan sektor berkenaan.

Justeru, tidak hairan, kita didedahkan dengan pelbagai jenis bentuk perniagaan berasaskan MLM sama ada dalam bentuk Internet, risalah mahupun SMS.

Penggunaan model seperti penyanyi atau pelakon menjadi daya tarikan utama untuk meraih lebih ramai pengikut untuk menyertai MLM dan seolah-olah menjadi trend masa kini kepada syarikat MLM yang baru memasuki industri.

Syarikat MLM berasaskan skim cepat kaya turut tidak ketinggalan memaparkan kejayaan usahawan MLM yang hidup mewah hasil perniagaan berangkai ini dengan menampilkan foto mereka bergaya dengan kereta mewah atau aksi melancong ke Eropah dalam usaha mengumpan perhatian generasi muda mendekati MLM.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan MLM itu, ada juga persepsi negatif terhadap MLM kerana ada syarikat MLM dikatakan tidak dapat mengawal perniagaan dengan baik, malah ditambah pula dengan cerita ada syarikat beroperasi beberapa bulan, kemudian menghentikan perniagaan kerana tidak dapat mengurus sistem dengan baik.

Memburukkan lagi keadaan ialah ada syarikat MLM dikatakan menyeleweng dan menipu pelanggan selepas mengaut keuntungan kemudian menghilangkan diri. Malah ada juga yang membuka syarikat MLM lain dan terus menipu orang ramai.

Pendekatan terbaik untuk mengelakkan individu terjebak dalam kegiatan MLM berasaskan skim cepat kaya ialah memastikan syarikat beroperasi secara sah dan berlesen manakala bagi yang beragama Islam, ada keperluan untuk kita memeriksa sama ada perniagaan itu halal.

Selain itu, kita harus melihat produk yang diketengahkan syarikat berkenaan sama ada halal atau memiliki kandungan bahan meragukan, sekali gus mungkin memudaratkan pengguna.

Adalah penting untuk menyelidiki siapa pengasas organisasi perniagaan terbabit dan sama ada mempunyai lesen Akta Jualan Langsung yang diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan menyemak laman web kementerian.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Profesor Madya Mohamad Md Yusoff, sudah menjadi naluri manusia ingin cepat kaya dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberi penekanan serius kepada masalah itu yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, boleh dikatakan masyarakat sering didedahkan dengan laporan media mengenai penipuan atau mangsa yang ditipu mendedahkan kes pelaburan mereka di dada akhbar, namun seolah-olah tidak diendahkan masyarakat.

Kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang dalam membendung kegiatan itu dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga.

Selain itu, kaedah menerusi pendidikan dan kempen boleh dipertingkatkan untuk mendedahkan orang ramai mengenai kaedah MLM yang sesuai dan selari dengan peraturan diperuntukkan dalam Akta Jualan Langsung.

Langkah KPDNKK baru-baru ini yang akan mengumumkan 10 ciri perniagaan MLM berasaskan skim piramid untuk rujukan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan skim cepat kaya, dianggap langkah bijak untuk kebaikan semua.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik sebagai berkata penyenaraian ciri berkenaan membolehkan orang ramai melindungi diri mereka daripada ditipu syarikat jualan langsung yang menjalankan perniagaan mengikut prosedur skim piramid.

Beliau berkata, antara 10 ciri yang patut diketahui semua orang ialah penjualan produk dengan harga yang tidak munasabah, mengutamakan pencarian ‘downline’ serta pembayaran yuran mahal untuk menyertai aktiviti jualan langsung anjuran syarikat terbabit.

Apa yang penting ialah masyarakat atau individu yang berminat untuk menjalankan perniagaan MLM hendaklah bijak menilai dan menyelidiki secara terperinci jenis perniagaan itu sama ada berbentuk skim cepat kaya atau benar-benar menjual produk yang dapat membantu menjana pendapatan tambahan.

p/s : Pastikan anda dilandasan yg betul untuk menjadi seorang Jutawa, jadilah Jutawan yg jujur dan amanah, semoga kekayaan didunia dapat dimanafaatkan untuk kesenangan akhirat..

Salam Jutawan dari saya

Haizal Ramdzan bin saaid ramdzan










2 comments:

Unknown said...

Sekadar nak berkongsi..Download ebook forex PERCUMA..

http://afcobiz.com/nota1
http://afcobiz.com/nota2
http://afcobiz.com/nota3

Semoga dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada semua terutamanya kepada individu yang masih baru dalam urusniaga forex ini..

download guna aplikasi internet explorer..firefox kdg2 agak sedikit bermasalah @ error

Anonymous said...

maaf..MLM tak lari dari mana2 perniagaan jual beli untung..
disebabkan ada sesetgh usahawan yg xlayak bgelar usahawan tlh mburukan nama MLM..ckp tanpa fakta mmg x efisen...43thn MLM btapak sudah mlhirkn 5900 org bgelar jutawan..hanya ada 391 AJL yg sah disisi undang2