Dari arkib Berita Harian Online.
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2011/10/01
Pernah ambil upah RM220 sebulan, sekarang jadi idola peneroka
RAUT wajahnya yang tegas dan tampak sombong membuatkan kami berfikir dua kali untuk menemuramah individu digelar 'Jutawan Felda' oleh majoriti masyarakat Felda Umas di Tawau, Sabah, ini. Namun, sebaik beliau mula berbicara, hilang segala prasangka awal yang bermain di fikiran.
Personaliti pilihan sisipan Inspirasi minggu ini, Amarullah Sudin, 53, penuh sifat dedikasi serta merendah diri yang amat disenangi oleh masyarakat Felda Umas. Biarpun mendiami banglo yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta serta dilimpahi nikmat hasil perahan keringat, Amarullah tidak pernah bersikap ‘hidung tinggi’.
Menyimpul kejayaan diraihnya selama ini sebagai petani moden, ternyata isteri tercinta, Muniati Asnawir, 45, menjadi tulang belakang kepada kejayaannya dalam bidang pertanian, penternakan dan pembinaan.
Berkongsi cerita, Amarullah, Muniati bagi dirinya adalah perancang kewangan dan ekonomi terbaik untuk keluarga hingga membolehkan beliau berjaya sejak mula menjadi peneroka pada 1990. Isterinya menguruskan segala hal kewangan serta menggalakkan mereka berjimat-cermat dengan membeli mengikut keperluan bukan keinginan.
Besar pengaruh isterinya hingga Amarullah terkenang insiden kehilangan lima ekor lembu ketika mula berjinak-jinak menjadi penternak pada 2000. Kejadian itu menimbulkan kemarahan Muniati lalu mendorong Amarullah berusaha mengganti semula lembu yang hilang.
“Jika diingatkan memang ia satu peristiwa sedih. Namun, menjadi lucu kerana saya terpaksa berbohong dengan isteri dan memberitahu lembu yang hilang sudah ditemui semula. “Sedangkan, saya terpaksa membeli lima ekor lembu baru untuk menggantikan yang hilang itu. Namun, saya tidak pernah menyalahkan isteri atas kemarahannya itu kerana isteri risau saya tidak ada pengetahuan dalam bidang penternakan.
“Selepas peristiwa itu, saya terus mengikuti kursus penternakan lembu di Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH). Saya mula bertatih dan sekarang, bilangan lembu yang diternak mencapai 500 ekor. Saya juga ada 170 ekor kerbau yang dipasarkan di Sarawak termasuk Indonesia,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena Karnival Iktiraf Media anjuran Felda, baru-baru ini.
Amarullah berkata, keikhlasan ketika melaksanakan tanggungjawab serta disiplin yang tinggi amat penting untuk mencapai kejayaan malah menjadi pegangannya selama ini.
“Rutin harian saya bermula awal pagi untuk memastikan lembu saya berada di kawasan ladang bagi meragut rumput. Ini kerana saya sudah mengikat kontrak dengan pihak Felda untuk menjalankan kerja pembersihan kawasan menggunakan haiwan ternakan saya mengikut blok yang ditetapkan.
“Saya tidak menetapkan tempoh masa bekerja kerana ada kalanya masalah datang secara mengejut seperti lembu hilang pada waktu tengah malam. Ketegasan memang ada, bahkan anak kedua saya, Mohamad Iswan yang membantu saya turut dilayan seperti pekerja lain untuk memberikan pengalaman dan pendedahan kepada beliau,” katanya.
Menjengah kediaman mewah bernilai lebih RM1 juta milik Amarullah, hati kagum memikirkan betapa gigihnya bapa kepada sembilan anak ini mengubah taraf hidup. Kesusahan yang pernah dirasai sebelum ini tidak pernah menjadi halangan untuk dirinya mencipta kejayaan. Usaha dan semangat juang yang kental dalam diri Amarullah dan anggota keluarga yang tidak pernah berputus asa memajukan diri, menjadi kunci kepada kejayaan seisi keluarga.
Tambah menarik, kediaman keluarga Amarullah dibina sendiri melalui rekaan yang diilhamkan anak sulungnya, Abdul Ghafar, 26, yang kini bertugas sebagai jurutera di Lembaga Letrik Sabah.
Jika berkunjung ke Felda Umas, kisah kejayaan hidup Amarullah tidak pernah lekang meniti di bibir penduduk kampung. Kediamannya yang tersergam menjadi lambang kebanggaan dan bukti bahawa peneroka dan petani juga mampu hidup mewah.
“Saya berpegang kepada prinsip mengekalkan apa yang ada serta tidak meninggikan diri. Ini kerana di tanah rancangan ini, semuanya umpama satu keluarga. Saya bermula dengan susah apabila menerima gaji sebanyak RM220 sebulan, namun bersyukur apabila pendapatan kian meningkat.
“Semua ini atas dorongan kuat serta semangat isteri yang tidak pernah berbelah-bahagi menyokong apa yang saya lakukan. Setiap perolehan hasil yang saya dapat akan saya serahkan 100 peratus kepada isteri saya untuk diurus dan diagihkan mengikut kepentingan,” jelasnya.
Muniati pula menegaskan, kelebihan dan kesenangan yang dimiliki mereka berpunca sikap saling mempercayai serta memekakkan telinga atas tohmahan orang lain. Beliau yakin suaminya itu selalu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan taraf hidup.
“Saya tidak pernah peduli dengan apa orang kata termasuk digelar ‘queen control’. Ini kerana apa yang lebih penting ialah masa depan kami terutama anak yang makin membesar. Saya juga hanya membeli barangan perlu saja kerana tidak mahu membazir dengan benda yang tidak sepatutnya dimiliki.
“Mungkin bagi sesetengah orang menganggap saya kolot dan kedekut hanya tidak memiliki barangan jenama. Tetapi, saya tahu apa yang saya inginkan dalam kehidupan. Titik peluh suami yang bersusah payah mencari rezeki harus difikirkan bukannya berbelanja secara melulu kerana saya fikir mengenai masalah mendatang jika wang tidak diurus dengan baik,” katanya.
Atas usaha dan kegigihan dirinya, Amarullah dinobat sebagai penerima Anugerah Usahawan Tani Felda 2010 Peringkat Kebangsaan yang melayakkan beliau menggondol wang tunai RM16,000 serta menjadi idola masyarakat.
“Saya yakin generasi kedua Felda juga mampu mencapai kejayaan sekiranya mereka yakin pada diri sendiri dan tidak mudah berputus asa. Semua orang mampu memiliki apa yang mereka impikan jika berusaha mencapainya dengan bersungguh-sungguh serta jujur dalam pekerjaan yang dilakukan.
“Bagi saya, kejayaan ini adalah dorongan keluarga, masyarakat Felda Umas serta pengurusan Felda yang tidak jemu membantu peneroka untuk menaikkan taraf kehidupan kami melalui pelbagai intensif,” katanya.
Sambung legasi ayah
RIAK tenang anak muda berusia 24 tahun ini menggamit hati penulis untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Ini kerana sikap gigih membantu bapa tersayang di ladang ternakan dan tapak projek pembinaan tanpa rasa jemu atau berputus asa.
Mohd Iswan Amarullah pernah menolak tawaran menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) demi menyambung kelangsungan usaha bapa tersayang memajukan lagi Felda Umas selain perusahaan penternakan dan projek pembinaan mereka.
Anak kedua daripada sembilan beradik ini berkata, pada awalnya memang sukar untuk membuat keputusan memilih antara kerjaya di Felda atau meneruskan pengajian. Namun, akhirnya beliau membuat keputusan untuk terus memberi sokongan dan membantu bapanya.
“Ternyata keputusan ini adalah yang paling tepat buat diri saya. Ini kerana sebagai generasi kedua Felda, saya rasa terpanggil untuk meneruskan apa yang diusahakan ayah hingga berjaya membesarkan kami sembilan beradik. Bagi saya, tidak semestinya setiap anak Felda perlu bekerja di bandar untuk beroleh kejayaan kerana di tanah rancangan ini juga menjanjikan banyak peluang kerja.
“Saya juga tidak pernah peduli dengan pandangan orang terhadap apa yang saya lakukan. Ini kerana apa yang lebih penting ialah untuk memajukan lagi usaha yang dilakukan ayah selama ini. Ayah bermula dari bawah hingga kami mampu mengecapi apa yang ada sekarang,” katanya.
Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Kota Kinabalu ini juga mengakui kegigihan bapanya menjadi inspirasi untuk beliau terus bertahan dan sentiasa terdorong untuk lebih bersemangat serta meningkatkan keyakinan untuk menjadi generasi kedua Felda yang berjaya.
“Ayah adalah idola dan pendorong utama kejayaan saya untuk terus kekal di Felda. Sikap rendah diri dan tidak mengenal erti putus asa yang ada dalam diri ayah menguatkan lagi azam saya untuk berjaya selain membuktikan bahawa kehidupan di Felda menjanjikan ketenangan dan hasil yang lumayan.
“Saya tidak pernah ralat dengan keputusan yang diambil kerana di sini peluang untuk membina kejayaan terbentang luas dan berharap generasi kedua Felda juga akan kembali ke Felda demi meneruskan usaha yang dilakukan generasi pertama. Apa yang lebih penting ialah bekerja dengan jujur dan mengetepikan pandangan serta tohmahan orang lain terhadap kita ,” katanya.
"http://static.ak.connect.facebook.com/js/api_lib/v0.4/FeatureLoader.js.php"
type="text/javascript">
No comments:
Post a Comment