Wednesday, February 16, 2011

BERITA JUTAWAN : Datuk Stapa dan Datuk Azlina...pengasas DCL dan D'Navechee


Sumber dari KOSMO

Empayar cinta Azlina, Stapa
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

MASUK ke pekarangan kediaman milik pasangan ternama Datuk Stapa Omar dan Datuk Azlina Che Abdullah, kaki seperti berpijak di 'sebuah kerajaan kecil' yang paksinya dibina atas nama cinta.

Kenapa cinta? Sengaja istilah yang dikatakan 'keramat' itu saya gunakan kerana saya percaya cintalah antara kekuatan kepada pasangan ini untuk merentas dan menuruni setiap lembah yang menghalang laluan mereka, selama mahu sampai ke tahap ini.

Tanpa menyangkal segala falsafah yang menjadi makanan harian sehingga bergelar jutawan hasil bisnes yang diceburi, dua insan yang saling melengkapi ini diajak bersantai tanpa fail unjuran pendapatan ataupun sasaran keuntungan.

Selain bisnes, mereka juga seperti pasangan suami isteri lain yang bertemu, saling menyintai, menyimpul kasih dan berkahwin. Kemudian beranak-pinak, berdepan asam garam rumah tangga dan mengurus hubungan dengan bijak agar keluarga serta periuk nasi berjalan seiring.

Kali ini bukan metodologi syarikat jualan langsung bumiputera terkenal D'Clasicc Life (DCL), D'Navechee, DAS Travel, Nasi Dagang Ulik Mayang atau DCL Manufacturing yang dihitung mengisi bicara. Sebaliknya, Azlina dan Stapa diajak berkongsi ruang hati, tentang cinta dan kasih yang mengikat dua hati menjadi satu.

Mereka lahir daripada budaya dan latar belakang yang hampir sama. Seorang dari Kemaman, Terengganu dan seorang lagi dari Pasir, Mas, Kelantan. Lebih nostalgik, Azlina dan Stapa, masing-masing asalnya anak orang miskin yang perlu bersengkang mata untuk sesuap nasi.



Si isteri, gadis kematian bapa. Ibunya hanyalah seorang penjual kuih tradisional manakala si suami pula anak yatim piatu yang tiada harta warisan keluarga. Ketika muda, mereka habiskan waktu dengan bekerja, tiada masa untuk bercinta.

Pastinya detik temu lebih dua dekad lalu juga berlangsung ekoran kerja bisnes, cuma di mana dan bagaimana, momen itu hanya dirasai Azlina, 42, dan Stapa, 49.

"Saya jenis yang tak bergaul sangat dengan budak lelaki sejak dari sekolah lagi, itu yang diajarkan oleh arwah bapa saya sampailah saya jumpa Datuk.

"Kami terjumpa buat pertama kali masa ceramah motivasi jualan langsung. Dulu masa mula-mula jumpa, saya tak tertarik pun dengan Datuk S. Tapi lama-kelamaan, sebab dah selalu jumpa, bercakap dan dengar ceramah motivasi perniagaan oleh dia, mulalah timbul rasa kagum," luah Azlina sambil senyum merekah di bibirnya.

Soalan yang sama diajukan kepada sang suami dan lelaki berusia 49 tahun ini mula bermadah kata.

"Kiranya saya ini jatuh cinta pandang pertama tapi perkara itu tak mungkin terjadi kalau Datuk A (panggilan si suami terhadap Azlina yang bergelar 'Datuk') tak cantik. Dah tentu kerana saya tertarik dengan kecantikannya," beritahu Stapa berseloroh.

Tambah Stapa dengan segugus pujian: "Saya pula bukanlah tampan, tapi manisnya ada. Dia pula ada kecantikan yang saya cari, cantik yang menzahirkan kebijaksanaan. Tapi memandangkan saya ini anak yatim piatu dan tidak ada apa-apa, saya kena buktikan sesuatu untuk menawan hatinya.

Percaturan Stapa memilih isteri yang cantik dan bijaksana membuahkan hasil. Kini Azlina bukan setakat rakan kongsi, bahkan wanita ternama yang memiliki perusahaan sendiri dan dicemburui ramai wanita lain.


AZLINA bersama tiga daripada lima permata hati yang menceriakan hidupnya dan Stapa.

Bagi Azlina, walaupun beliau bergelar 'Datuk' dan boleh berbangga dengan pencapaian peribadi, itu bukan alasan untuk bermegah atau meminggirkan suara suami dalam semua segi, khususnya berhubung kekeluargaan.

Tiada juga istilah makan hati atau merajuk kerana sepanjang berkahwin, suamilah orang yang paling sensitif berbanding dirinya.

"Sikap suka meminta maaf dan memaafkan orang lain menjadi amalan kami suami isteri yang turut diajar kepada anak-anak, malah juga diterapkan di kalangan kakitangan kami dan pengedar.

"Saya juga amalkan pendekatan mengalah dan tidak sesekali mengecilkan hati suami di rumah ataupun di pejabat. Saya juga bukan jenis yang cepat makan hati kerana saya faham sangat lelaki ada ego tersendiri dan kalau saya sendiri tidak mampu nak mengubah apa-apa, saya kena gunakan saluran lain untuk luahkan idea saya. Itu kalau urusan DCL tapi untuk perniagaan saya, D'Navechee, 100 peratus keputusan di tangan saya," jelas Azlina berterus terang.

Mengorek rahsia keharmonian hubungan mereka yang sering tercabar dek kesibukan urusan perniagaan, Azlina memberi petua. Kelembutan wanita itu pencair kepada kekerasan lelaki.

"Saya tak boleh tidur kalau suami tak bercakap atau bermasam muka. Kalau siang hari saya tak berjaya memujuknya, saya akan gunakan waktu malam sebaik-baiknya. Setiap malam kami tidur berpegangan tangan. Dari situ pautan kasih sayang akan bertambah erat.

"Paling penting kita kena kembali kepada didikan agama. Isteri yang tidak bercakap dengan suami lebih daripada tiga hari akan dilaknat oleh malaikat. Saya pilih buat yang terbaik kepada suami kerana syurga terletak di bawah telapak kaki suami," kata Azlina.

Ibarat ular menyusur akar; kata Azlina, kehebatan seseorang wanita itu tidak akan luak jika beralah kepada suami.


SESIBUK mana sekalipun, Stapa dan Azlina rajin mencuri waktu bersantai. Kalau tidak bersama anak-anak, mereka akan berdua-duaan menikmati panorama indah dan menyedut udara segar di halaman rumah.

Hubungan mana yang tidak bergoncang dengan masalah, suami isteri mana yang tidak pernah bergaduh dan perkahwinan mana yang tidak ditimpa gelora, begitu juga dengan pasangan jutawan ini.

Untuk bercakap tentang kesukaran dan cabaran yang telah ditempuhi bersama pula, hanya 'mati' belum mereka rasai.

"Kalau nak cerita dah jadi Hikayat 1001 Malam jadinya. Di sebalik kesukaran itu ada kesenangan, cuma kesenangan tersebut terselindung.

"Orang selalu tanya saya berapa banyak aset milik saya ketika ini. Saya kata aset ini semua hanyalah lima peratus daripada keseluruhan aset yang saya ada. Semua terkejut! Tapi saya cakap, 95 peratus lagi aset saya ialah air mata darah yang telah tumpah.

"Kami pernah dihalau keluar rumah kerana 10 bulan tak bayar sewa, kereta kena tarik, diisytiharkan bankrap dan pernah dihalau dari bangunan diduduki sekarang kerana bangunan itu dibeli oleh orang lain. Ketika itu kami ibarat berada di tengah lautan dan di sekeliling kami ada tsunami. Waktu itu, saya hanya ada dia dan dia ada saya, itu sahaja," getus Stapa, larut seketika dalam memori getirnya.

Isteri adalah kekuatan suami dan suami pula kekuatan si isteri, ini antara pelajaran yang boleh dikutip daripada kisah lampau pasangan berhati waja ini.

Kata pasangan ini, gantungkanlah impian setinggi bintang, kalau jatuh sekalipun ia tersangkut di atas awan. Rendahkan hati kita serendah mutiara di dasar lautan, seandai timbul sekalipun, ia akan tersangkut di antara batu karang.













No comments: