Tuesday, March 30, 2010

JUTAWAN YANG BOSAN DENGAN KEMEWAHAN...

Artikel diperolehi daripada akbar Metro

KARL Rabeder, 47, ahli perniagaan dari Telfs, Austria, kini dalam proses menjual kediaman mewahnya, rumah agam seluas 1,055 meter persegi, lengkap dengan tasik, sauna dan pemandangan kawasan pergunungan Alps yang menakjubkan dengan harga 1.4 juta paun (RM7.5 juta).

Turut disenaraikan untuk dijual ialah rumah ladang di Provence bersama-sama tanah seluas 17 hektar. Nilai rumah di kawasan desa itu ketika ini ialah kira-kira 613,000 paun (RM3.3 juta).Antara barangan miliknya yang sudah dijual ialah koleksi enam enam pesawat peluncur yang keseluruhannya berharga 350,000 paun (RM1.9 juta) dan sebuah kereta mewah Audi A8 yang dijualnya dengan harga kira-kira 44,000 paun (RM237,000).

Rabeder juga menjual perniagaan hiasan dalaman dan aksesori, sumber yang menjadikan dia jutawan.“Rancangan saya ialah tidak ada apa yang tinggal. Langsung tidak ada,” katanya dalam temuramah dengan akhbar The Daily Telegraph.

“Wang tidak membawa kebahagiaan. Ia sebenarnya menghalang kebahagiaan,” katanya.
Dia akan berpindah dari rumah mewahnya di Alpine ke sebuah pondok di kawasan pergunungan atau mungkin bilik yang hanya memuatkan satu katil di Innsbruck.

Semua hasil jualannya akan diserah kepada badan kebajikan yang ditubuhkan di Amerika Latin dan Amerika Tengah.Rabeder berkata, dia tidak akan menolak semua bentuk pendapatan daripada badan kebajikan berkenaan.

“Selama ini saya percaya, dengan menjadi lebih kaya dan mewah akan menjadikan kehidupan lebih bahagia. Saya berasal daripada keluarga miskin yang prinsip hidupnya ialah bekerja dan terus bekerja untuk memperoleh kekayaan. Sudah sekian lama saya mengamalkan prinsip itu,” kata Rabeder.Namun sejak beberapa bulan lalu, dia dilanda perasaan berbeza mengenainya.

“Ada sesuatu yang berbisik di telinga saya: ‘Berhenti daripada mengejar kemewahan dan kebendaan. Mulakan kehidupan sebenar anda’.

“Saya dilanda perasaan bahawa selama ini saya menjadi hamba untuk mendapatkan sesuatu yang saya tidak inginkan dan perlukan. Saya menyedari ramai yang seperti saya, mengejar kekayaan dan kemewahan.” Bagaimanapun, selama beberapa tahun dia masih tidak berani untuk menyerahkan kekayaan dan keselesaan hidup yang dilaluinya.

Titik perubahan itu bagaimanapun berlaku ketika dia bercuti tiga minggu di Hawaii bersama-sama isteri.

“Ia kejutan besar dalam hidup saya apabila menyedari berapa buruknya menjalani gaya hidup lima bintang. Jiwa saya kosong. Langsung tak ada perasaan. “Selama tiga minggu itu kami berbelanja semahu-mahunya. Namun, sepanjang tempoh itu juga kami tidak menemui manusia yang ikhlas. Yang ada semuanya berlakon.

“Kakitangan hotel berpura-pura mesra sementara tetamu lain berlagak menjadi orang penting. Tidak ada yang ikhlas dan mahu menonjolkan diri mereka sebenar.” Dia dilanda perasaan serupa ketika meluncur di Amerika Selatan dan Afrika.

“Saya semakin terasa ada hubungan antara kekayaan kami dengan kemiskinan penduduk di sana. Tiba-tiba saya menyedari jika saya tidak melakukannya sekarang, saya tidak akan melakukannya selama-lamanya.” Rabeder mengambil keputusan mengadakan cabutan loteri sebagai cara untuk menjual rumahnya. Dia menjual 21,999 tiket loteri pada harga 87 paun (RM467) setiap satu. Pemenangnya akan memiliki rumah itu.
Rumahnya di Provence pula dijual melalui seorang ejen hartanah tempatan.

Segala hasil jualan itu akan diserahkan kepada badan kebajikan kredit mikro yang ditubuhkan untuk memberi pinjaman kepada pengusaha kecil di Amerika Latin, khususnya di El Salvador, Honduras, Bolivia, Peru, Argentina dan Chile.Tiada keuntungan akan diperolehnya menerusi pinjaman berkenaan.

Sejak menjual barangan miliknya, Rabeder berkata, dia berasa ringan. Bagaimanapun, dia enggan mengulas mereka yang mahu mengekalkan kekayaan.

“Saya tidak berhak untuk bercakap bagi pihak mereka. Saya juga tidak layak untuk menasihatkan mereka. Saya berbuat demikian kerana mendengar suara hati dan jiwa saya.”










1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.