Monday, September 14, 2009

JUTAWAN MALAYSIA : Dato Wan Mohd Sani...pencetus SANI EXPRESS


Rakan karib inspirasi Sani
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my

PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

>Profil

NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

USIA: 33 tahun

LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)

P/S : Sifat cemburu kepada kejayaan rakannya telah menjadikan Dato Wan Mohd Sani berusaha gigih dan bersungguh-sungguh utk berjaya, rakan baik beliau juga yg sentiasa terbuka utk membantu dan membimbing beliau juga wajar kita contohi. Sesungguhnya sifat kikir utk berkongsi ilmu dan busuk hati tidak wajar ada pada setiap individu yg hendak berjaya. Diharap perkongsian cerita pada kali ini dapat memberi manafaat pada kita semua

Salam Jutawan dari saya

Haizal Ramdzan










7 comments:

Lady E said...

Dh dpt tittle Datuk ke rupenye..!

Jutawan Hartanah said...

SEMINAR BAGAIMANA MENJADI JUTAWAN HARTANAH BERSAMA AZIZI ALI AKAN DIADAKAN PADA 31 OKT 2009 DI MAHKOTA HOTEL MELAKA... lawati www.jutawanhartanah.co.cc untuk mendaftar.

pokli said...

saya mendapat tahu Sani adalah Proxy kepada KJ...tapi tahniah...seronok tgk org melayu berjaya....kalau aku jadi sani pon sebat jer...KJ..pun KJ la....kekekkekeke

admin
Jutawan Emas & Hartanah
www.pokli.com

kmas jidan said...

Congrates to DWMS....
We're so proud to have Dato' as a Malay Millionaire!
We're so admire Dato'...

probiznetworkteam2u said...

BAGAIMANA NAK DAPAT RM 11,000 DALAM MASA SEMINGGU.... Katakan ini setiap hari ,, masukkan input-input positif setiap hari kedalam minda kita , elakkan dari menerima getaran negatif , terlalu banyak berkawan dengan orang-orang negatif ... Siapa nak tau BERJAYA boleh join HBBH ..
http://interniaga.webs.com/
http://free.cool-traffic.com/...members/62743.html
TAIP NAMA<>TARIKH LAHIR<>LOKASI KE 0128961407 Abie.

probiznetworkteam2u said...

BAGAIMANA NAK DAPAT RM 11,000 DALAM MASA SEMINGGU.... Katakan ini setiap hari ,, masukkan input-input positif setiap hari kedalam minda kita , elakkan dari menerima getaran negatif , terlalu banyak berkawan dengan orang-orang negatif ... Siapa nak tau BERJAYA boleh join HBBH ..
http://interniaga.webs.com/
http://free.cool-traffic.com/...members/62743.html
TAIP NAMA<>TARIKH LAHIR<>LOKASI KE 0128961407 Abie.

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt. Ada seorang lelaki Melayu dari asnaf fakir miskin bernama Saudara Adila Bin Suboh. Beliau berasal dari Melaka. Beliau berumur 44 tahun. Beliau tidak mempunyai rumah dan kenderaan sendiri. Beliau sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Beliau tidak mampu menyara keluarganya kerana kesempitan wang. Adakala beliau tidak makan dan mandi beberapa hari. Beliau mengharapkan belas kasihan dari orang yang prihatin dengan keadaan nasibnya. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Sumbangan anda dapat meringankan beban orang yang memerlukannya. Terima kasih.